ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SAYA.






Wednesday, September 9, 2009

Jangan dewasakan kami
anak-anak masa kini
dengan permusuhan
kerana permusuhan
mencipta masa depan
suka dengan perkelahian
gemar dengan perbalahan

Jangan besarkan kami
anak-anak masa kini
dengan celaan dan caci
kelak kami mudah rendah diri
dan payah untuk berdikari

Didiklah kami
dengan sebaik-baik perlakuan
kelak bisa kami
menegak keadilan

Asuhlah kami
dengan tolenrasi
nanti kami perolehi
ketahaan diri

Bimbinglah kami
dengan semangat dan dorongan motivasi
kelak bisa kami
percaya diri sendiri

Tunjukkan dan pimpinlah kami
dengan halus dan lembut kasih sayang
pasti nanti kami temui
ada cinta dalam kehidupan
kerana kami
anak-anak masa depan
permata tak ternilai
harganya

Ir. Shuhaili Che Kob

Jln pekeliling, KL
SELEPAS KEHILANGAN ITU
(BUAT YIN- MINGGUAN MALAYSIA 3 Jun 2007)

Khabar yang menyentak tenang
seluruh jantung negara tersentak
terasa bagai hilang nyawa dari badan
anak kesayangan sekelip mata lesap dari pandangan
dari pegangan seorang ayah
dari suasana riang meriah
di sebuah kompleks membeli belah
berubah menjadi wajah nestapa
impian dan harapan indah hidup sejahtera
angan-angan damai di lingkungan sempurna
lebur dan musnah
hancur dan luluh

Kau dan aku berkongsi sedih
di sebalik kehilangan anak kesayangan
betapa kasih dan sayangnya
ibu ayah terhadap anaknya
seperti air dicincang
tak putus selamanya

Sesungguhnya
iktibar ini
membawa halus pesan
betapa perhubungan kita sesama manusia
sudah ketara longgarnya
kerana masing-masing lebih mementingkan diri sendiri
dan tidak suka menjaga tepi kain orang

Selepas kehilangan ini
barulah kita sedar dan insafi
betapa kita perlu bersatu hati
kekadang perlu juga menjaga tepi kain orang lain
dengan batas tertentu
agar kehidupan ini
sejahtera, aman dan damai.

Ir. Shuhaili bin Che Kob
Shah Alam , Selangor
SONGSANG

Aku mengajak tabur bakti
ada yang tabur duri

Aku mengajak maju ke depan
ada yang mahu mundur ke belakang

Aku mengajak pikul amanah
ada yang sebar fitnah

Aku mengajak eratkan perpaduan
ada yang nyalakan perkauman

Aku mengajak muzakarah
ada yang tolak ukhuwah

Aku mengajak kukuhkan pegangan
ada yang pesongkan iman

Aku mengajak bersahabat dengan kerajinan
ada yang citakan kemalasan

Aku mengajak jaga maruah
ada yang suka cemarkan maruah

Aku melaungkan kejayaan
ada yang memekik palsukan kebenaran

begitulah
manusia suka bertentangan
dan songsang.


Ir. Shuhaili bin Che Kob Shah Alam, Selangor
TERUS TERANG (WAN A RAFAR)

Terus terang
Kukatakan
Memang baik
Pada tempat-tempatnya
Terus terang harus
Disembunyikan
Dalam dada

Terus terang
Boleh mendekatkan
Atau menjauhkan
Persahabatan

Terus terang
Mungkin boleh melukakan
Boleh juga menyukakan

Terus terang
Kukatakan
Kita tidak bisa
Berterus terang
Dalam semua perkara.
SUNGAI KITA

Air sungai ini
dari perbukitan tinggi
biarlah mengalir terus
tanpa halangan deras
membawa jernih ke muara
dapat juga merehat minda
sambil menghilang dahaga
seronok ikan dan hidupan lainnya
berenang dan main air
menghibur hati pengunjung jelata
dapat juga melepas penat
rehat dari kesibukan pejabat

Sungai kita
biar ia
jernih terpelihara
bersih sentiasa
kerana sungai adalah sebahagian hidup kita
perlu kita jaga.

Ir. Shuhaili bin Che Kob Shah Alam, Selangor
NILAI KASIH IBU

Seorang anak menulis nota pada ibunya
kos upah membantu ibu :
jaga adik RM4.00
pergi kedai RM4.00
sapu sampah RM3.00
kemas bilik RM3.00
buang sampah RM3.00
siram bunga RM3.00
Jumlah : RM20.00

Senyum ibu pada anaknya sambil
membalas nota anaknya

Kos menjaga dan mengasuh anak :
mengandung 9 bulan RM PERCUMA
berjaga malam menjagamu RM PERCUMA
airmata menitis keranamu RM PERCUMA
kerungsingan kerana bimbangkanmu RM PERCUMA
makan minum, pakaian dan keperluanmu RM PERCUMA
jumlah keseluruhan nilai kasihku
PERCUMA

Kemudian mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang


Dailog itu menusuk kalbuku
bahagia keluarga bukan kerana limpahan harta
bahagia keluarga bila anak-anak bersih anggota
sihat akal berakhlak mulia
kuat rohani jasmani dan ilmu penuh di dada
sanggup berkorban untuk keluarga
dan berjihad ke jalan mulia

Sesungguhnya kasih ibu
tiada nilainya
kasihnya ibu membawa ke syurga
syurga itu di bawah tapak kaki ibu.


Ir. Shuhaili bin Che kob Seksyen 20, Shah Alam
WAJAH-WAJAH DI PASAR MINGGU
WADI LETA S.A
KB, KELANTAN

Daun wajah penjual sayur
nampak hijau dan basah
buah wajah penjual limau
nampak kuning dan ranum
di gerai yang pandai berniaga

Kotak wajah penjual kosmetik
nampak cantik dan menawan
petak wajah penjual ikan
nampak berbunga dan menggoda
di gerai yang petah bersuara

Cawan wajah penjual minuman
nampak berkilat dan berkilau
dulang wajah penjual kuih
di gerai yang bersih dan ceria

Bakul wajah penjual ikan
nampak segar dan berkhasiat
raga wajah penjual jamu
nampak sihat dan kuat
di gerai yang sentiasa segar

Wajah-wajah di Pasar Minggu
adalah wajah-wajah kerajinan
kegigihan dan ketekunan
yang memenuhi gerai kehidupan
dengan kemesraan dan kesibukan.

Thursday, September 3, 2009

JASAMU DIKENANG

Pulau pandan jauh ketengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang jua


Kita adalah air sungai yang mengalir lembut
Bersih dingin dan jernih
Menempuh pelbagai liku
Dari pergunungan
Melalui jeram
Paya dan lembah
Membawa bersama
Batu-batu kerikil
Ke hulu sungai
Dingin dan menyegarkan

Waktu telah mencatatkan demikian
Sesaat pun tak menunggu
Kita manusia sentiasa di bawah
Kesaksian Dia Yang Maha Esa
Kita dilaman Tuhan
Tuhan yang merentangkan jalan kehidupan
Kita hambanya
Bertatih dilangkahan takdir
Sekalipun bukan pilihan
Inilah suatu kenyataan
Peta laluan
Menghiasi hayat dan waktu

Ini malam keramat
Seluruh akrab kerabat
Handai taulan berkumpul berjabat
Jamuan meriah
Deria tawa merata
Cerita-cerita indah
Wajah ceria
Tiada gundah
Semua hati
Bagaikan bertaut jalinannya
Mengindahkan suasana

Jika dahulu bekerja kuat kerana hendak makan
Sekarang bekerja kuat hingga tak sempat nak makan

Dahulu berpenyakit kerana kurang makan
Sekarang kurang makan kerana berpenyakit

Para Wira
Kalian semua akan pergi dari daerah ini
Setelah sekian musim bersama mengutip
Segala cerita dan berita manusia
Mengumpul rakaman peristiwa
Ragam dan watak-watak sebahagian
Dari kehidupan
Untuk diolah dan diadun
Menjadi sebahagian lagi
Dari inti pengalaman
Memasinkan kehidupan

Tunduk hormat untuk kalian para wira
Jejakmu – menjadi hasrat
Jejakmu – membunga berkat
Jejakmu- melebarkan hajat
Jejakmu – menyanyikan nikmat
Apakah ada lagi bahasa terindah mampu dipilih
Untuk menyatakan jasa kalian dihargai
Ucap selamat semoga sejahtera
Sejahteralah
Sepanjang tahun-tahun yang menanti dihadapi tenang
Dimudahkan urusan disempurnakan hasrat jaya
Seperti hati-hati yang pemurah
Demikian rezeki pun melimpah
Waja semangatlah sesungguhnya
Yang mewajahkan seorang kalian sebagai wira
Yang cemerlang.

Kitalah air sungai tadinya mengalir terus tanpa putus
Lesu, keruh , kotor dan likat
Loya dan menjijikkan
Sarat mengandung dosa-dosa
Jika tidak dengan rasuah
Salahguna kuasa
Penindasan. Membunuh
Kuku besi
Ganja dadah
Judi dan macam lagi
Paling tidak
Mengumpat
Hasad dengki
Busuk hati
Demikian perjalanan kita untuk ke kuala

Air tercemar
Kehidupan diri terlontar

Kembalikan milik kita
Air sungai yang bersih lagi dingin
sebagai manusia sejati

ir Shuhaili Che Kob Jln Pahang, KL
DOA 50 TAHUN MERDEKA
(31 Ogos 2007)


Ini saat
kota kita masih dibanjiri rahmat
desa kita masih lagi dilimpahi berkat
bumi kita masih lagi hijau untuk dicalarkan luka
langit masih lagi biru untuk dipalitkan nestapa
taman kehidupan ini masih permai untuk dititiskan duka
laman silaturahim masih damai untuk ditaburkan sengketa
semuanya masih aman
semuanya masih sejahtera
mari kita panjatkan kesyukuran
atas nikmat kedamaian
dapat kita tatang kemakmuran
bersama kita rangkai perpaduan
mendakap peradaban
bersama kita jaga wawasan
jika lalai nanti kelak akan rugilah warisan
mari kita kenangkan bakti murni pahlawan yang telah pergi

mari kita julang budi suci negarawan yang telah kembali
menghargai pejuang, menilai hulubalang
bumi berkat ini hasilnya kita bagi sama rata
hari rahmat dan keramat ini kita kongsi sama rasa
kukuhkan dinding perpaduan dari acu laga penghasut liar
teguhkan benteng persefahaman dari adu domba tali barut luar
biar luluh jiwa kita demi mendaulatkan pertiwi
biar runtuh raga kita demi menobatkan harga diri
kitalah warisan masa depan negara
genggam bara demi maruah bangsa
di bumi warisan ibunda
biar mati kita, mati bermakna sebagai putera berjasa
biar pergi kita, pergi berguna sebagai puteri bernama

Jangan sesekali ada sesiapa yang cuba hampiri dan rapati
bumi yang kami pusakai,laut yang kami warisi
langit yang kami junjungi ,tanah air yang kami diami
rimba kami yang teduh, gunung kami yang teguh
dusun kami yang damai, pantai kami yang permai
desa kami yang aman, kota kami yang tenteram
laman kami yang wangi, budaya kami yang murni
pusaka kami yang indah, warisan kami yang gagah
maruah kami yang terpelihara, martabat kami yang perkasa

Penceroboh akan kami tentang habis-habisan
penakluk akan kami musnahkan
pengkhianat akan kami hapuskan
di sini tiada tempat untukmu duhai petualang Negara, pengkhianat bangsa
penderhaka agama
bumi keramat berdaulat ini
tidak akan sesekali rela ditindas jajah lagi

Sempena 50 tahun Merdeka
marilah kita semua berdoa
atas nama agama, bangsa dan negara
Negara berdaulat, hidup muafakat
Allah beri rahmat, Allah beri syafaat

Ya Allah, Ya Rabbi
Selamatkanlah generasi muda kami
Jadikan anak-anak kami anak wawasn
umpama pagi menguning
makin tunduk makin berisi
bukan tumbuh seperti lalang
menyemakkan laman
biar melempah ruah masuk Universiti
bukan memenuhi ruang laman pusat serenti
lindungilah kami dari budaya rasuah
gila kuasa dan pecah amanah
jauhilah kami dari berpecah belah
hindarilah kami dari penyakit tidak peduli, wabak puas hati
penyakit irihati hasad dengki
pentingkan diri sendiri
berlagak sombong, bercakap bohong
menabur fitnah, bermegah-megah
melakukan maksiat, berbuat jahat
agar kami tidak lupa diri
biar ada hati ada budi
tidak sempit daya fakir
tidak lesu ikut nafsu
tidak goyah salah langkah
tidak diikat tali maksiat
tidak hidup melarat
biar akhlak tak jadi papa
biar rohani terus berseri
ada kemanusiaan tak terbakar
ada persaudaraan tak tercemar
mahkotakan kemerdekaan ini
agar tidak terlepas dari rantai penjajahan diri sendiri
merdekakan fikiran kami
kembalikan maruah dan harga diri
pada kedudukan yang paling tinggi.
Merdeka, Merdeka, Merdeka
Merdeka bangsa dan Negaraku
selamanya
Amin…

Ir. Shuhaili bin Che kob
Shah Alam , Selangor
Pilihanraya
Berita Minggu
Februari 29, 2008

Awas!
Bila dia dipilih dan dijulang puja
bila dia hidup dan menjadi raja
dada kepala kita
hanya jadi permainannya
kita akhirnya disepak ditendang
seperti bola di tengah padang.

Pilihan raya kali ini
biar bijak buat keputusan
biar tepat buat pilihan
demi keamanan negara
terus gemilang di persada dunia.

IR SHUHAILI CK
TNB Selangor