ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SAYA.






Tuesday, February 9, 2010

Sunday, February 7, 2010

SAHABAT

Dari mulutnya
melompat kata-kata baik
keramahan bercerita
membayangkan dunia
sebuah pentas yang hidup
dan dimatanya
tak seorangpun berdiri
sebagai musuh

Ir. Shuhaili Che Kob
KL

LAMBAT

Segala-galanya lambat
dalam hidupku
misal saja tatkala kawan-kawan
memetik bunga
aku masih dalam perjalanan
mencari taman
tatkala kawan-kawanku
megah berdiri di puncak biru
aku masih terkial-kial mendaki
mengharung sejuta duri

Aladin Mohamad
Air Molek, Melaka

MURKA TUHAN

Dia
gadis sunti itu
menjaja cantik paras rupa
hingga lupa harga dirinya
rela dengan senang hati
menjadi tukaran  dagang tokoh korporat
untuk mendapat mega projek keparat
rela dan sudi
menjadi teman tidur setiap lelaki
miang keladi
dia jual agamanya
dengan sekati kemewahan
menconteng arang ke muka
kedua orang tuanya
dicari rahsia menipu diri
akhirnya memakan diri
setelah sekujur tubuh itu
kaku dan mati
seluruh masyarakat sedari
di dunia lagi sudah terima pembalasan ngeri
minta dijauhi.

Ir. Shuhaili Che Kob
TNB Shah Alam

BELAJARLAH DARI KESILAPAN (BERITA MINGGU 16/7/1995)

Tiada banyak bezanya
dulupun tak pernah
kauambil teladan
dari apa yang kausaksikan
betapa masih hangat lagi
tragedi itu menari
di kotak ingatan

Tak cukupkah Highland Towers
mencatat sejarah sukar dilupakan
yang memisahkan
keluarga, sanak saudara
kenalan dan sahabat
akibat kerakusan manusia
memburu kemajuan
hingga lupa hak alam sekitar

Kaulupa lagi di sini
di Lebuhraya Karak ini
hutan kautebang dulu
sekali lagi meragut nyawa
insan tak berdosa
jadi mangsa pembangunan

Belajarlah dari kesilapan dulu
jangan ulangi kesilapan
jangan jadi pelupa lagi
kerana harga nyawa lebih mahal
dari pembangunan.

Shuhaili Che kob
INTEKMA, Shah Alam

PESANAN (BERITA MINGGU 26/3/1995)

Anak ini
nanti bila besar
asuh dengan kesopanan
tunjukkan sebuah kelembutan
cara bagaimana
mencapai dahan budi
ulangkan di hujung bibir
bicara baik-baik
biar senang hati orang tua

Pimpinkan tangannya
ke jejak jaya
nanti bila berjaya
berjasa pada ayah
berjasa pada ibu
pada agama
bangsa dan negara

Jangan lupa ayah
jangan lupa ibu
yang sedang beradu
di liang lahad
taburilah bunga doa di pusara
biar sejuk ibu beradu
sejuk hati ayah

Pesanan itu
masih aku ingat
sampai kini.

Shuhaili Che Kob
INTEKMA, Shah Alam

LEBUHRAYA (MINGGUAN MALAYSIA 12/7/98)

Sebenarnya telah bertahun-tahun
dadamu jadi saksi
dan kelmarin
darah merah mengalir lagi
di bahu kiri kananmu jadi bukti

Sudah jenuh sebenarnya
kau memaki hamun
malah berjuta kali juga
kau lemparkan sumpah dan cacian
tidak pernah sesekalipun
pemandu itu
pemandu biadab
ambil peduli suaramu
dipecutkan kenderaannya
ikut sesuka hatinya
hingga lupa keselamatan orang lain
dan diri sendiri
akhirnya
anak-anak tak berdosa
keluarga bahagia
dihjempu maut

Lebuhraya
kau tidak bersalah
tiap kali menyaksikan
kejadian sedih dan menyayat hati itu
manusia yang berhati batu
jalanraya dijadikan medan
tunjuk jaguh

Shuhaili Che Kob
TNB Bangi