ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SAYA.






Wednesday, September 9, 2009

Jangan dewasakan kami
anak-anak masa kini
dengan permusuhan
kerana permusuhan
mencipta masa depan
suka dengan perkelahian
gemar dengan perbalahan

Jangan besarkan kami
anak-anak masa kini
dengan celaan dan caci
kelak kami mudah rendah diri
dan payah untuk berdikari

Didiklah kami
dengan sebaik-baik perlakuan
kelak bisa kami
menegak keadilan

Asuhlah kami
dengan tolenrasi
nanti kami perolehi
ketahaan diri

Bimbinglah kami
dengan semangat dan dorongan motivasi
kelak bisa kami
percaya diri sendiri

Tunjukkan dan pimpinlah kami
dengan halus dan lembut kasih sayang
pasti nanti kami temui
ada cinta dalam kehidupan
kerana kami
anak-anak masa depan
permata tak ternilai
harganya

Ir. Shuhaili Che Kob

Jln pekeliling, KL
SELEPAS KEHILANGAN ITU
(BUAT YIN- MINGGUAN MALAYSIA 3 Jun 2007)

Khabar yang menyentak tenang
seluruh jantung negara tersentak
terasa bagai hilang nyawa dari badan
anak kesayangan sekelip mata lesap dari pandangan
dari pegangan seorang ayah
dari suasana riang meriah
di sebuah kompleks membeli belah
berubah menjadi wajah nestapa
impian dan harapan indah hidup sejahtera
angan-angan damai di lingkungan sempurna
lebur dan musnah
hancur dan luluh

Kau dan aku berkongsi sedih
di sebalik kehilangan anak kesayangan
betapa kasih dan sayangnya
ibu ayah terhadap anaknya
seperti air dicincang
tak putus selamanya

Sesungguhnya
iktibar ini
membawa halus pesan
betapa perhubungan kita sesama manusia
sudah ketara longgarnya
kerana masing-masing lebih mementingkan diri sendiri
dan tidak suka menjaga tepi kain orang

Selepas kehilangan ini
barulah kita sedar dan insafi
betapa kita perlu bersatu hati
kekadang perlu juga menjaga tepi kain orang lain
dengan batas tertentu
agar kehidupan ini
sejahtera, aman dan damai.

Ir. Shuhaili bin Che Kob
Shah Alam , Selangor
SONGSANG

Aku mengajak tabur bakti
ada yang tabur duri

Aku mengajak maju ke depan
ada yang mahu mundur ke belakang

Aku mengajak pikul amanah
ada yang sebar fitnah

Aku mengajak eratkan perpaduan
ada yang nyalakan perkauman

Aku mengajak muzakarah
ada yang tolak ukhuwah

Aku mengajak kukuhkan pegangan
ada yang pesongkan iman

Aku mengajak bersahabat dengan kerajinan
ada yang citakan kemalasan

Aku mengajak jaga maruah
ada yang suka cemarkan maruah

Aku melaungkan kejayaan
ada yang memekik palsukan kebenaran

begitulah
manusia suka bertentangan
dan songsang.


Ir. Shuhaili bin Che Kob Shah Alam, Selangor
TERUS TERANG (WAN A RAFAR)

Terus terang
Kukatakan
Memang baik
Pada tempat-tempatnya
Terus terang harus
Disembunyikan
Dalam dada

Terus terang
Boleh mendekatkan
Atau menjauhkan
Persahabatan

Terus terang
Mungkin boleh melukakan
Boleh juga menyukakan

Terus terang
Kukatakan
Kita tidak bisa
Berterus terang
Dalam semua perkara.
SUNGAI KITA

Air sungai ini
dari perbukitan tinggi
biarlah mengalir terus
tanpa halangan deras
membawa jernih ke muara
dapat juga merehat minda
sambil menghilang dahaga
seronok ikan dan hidupan lainnya
berenang dan main air
menghibur hati pengunjung jelata
dapat juga melepas penat
rehat dari kesibukan pejabat

Sungai kita
biar ia
jernih terpelihara
bersih sentiasa
kerana sungai adalah sebahagian hidup kita
perlu kita jaga.

Ir. Shuhaili bin Che Kob Shah Alam, Selangor
NILAI KASIH IBU

Seorang anak menulis nota pada ibunya
kos upah membantu ibu :
jaga adik RM4.00
pergi kedai RM4.00
sapu sampah RM3.00
kemas bilik RM3.00
buang sampah RM3.00
siram bunga RM3.00
Jumlah : RM20.00

Senyum ibu pada anaknya sambil
membalas nota anaknya

Kos menjaga dan mengasuh anak :
mengandung 9 bulan RM PERCUMA
berjaga malam menjagamu RM PERCUMA
airmata menitis keranamu RM PERCUMA
kerungsingan kerana bimbangkanmu RM PERCUMA
makan minum, pakaian dan keperluanmu RM PERCUMA
jumlah keseluruhan nilai kasihku
PERCUMA

Kemudian mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang


Dailog itu menusuk kalbuku
bahagia keluarga bukan kerana limpahan harta
bahagia keluarga bila anak-anak bersih anggota
sihat akal berakhlak mulia
kuat rohani jasmani dan ilmu penuh di dada
sanggup berkorban untuk keluarga
dan berjihad ke jalan mulia

Sesungguhnya kasih ibu
tiada nilainya
kasihnya ibu membawa ke syurga
syurga itu di bawah tapak kaki ibu.


Ir. Shuhaili bin Che kob Seksyen 20, Shah Alam
WAJAH-WAJAH DI PASAR MINGGU
WADI LETA S.A
KB, KELANTAN

Daun wajah penjual sayur
nampak hijau dan basah
buah wajah penjual limau
nampak kuning dan ranum
di gerai yang pandai berniaga

Kotak wajah penjual kosmetik
nampak cantik dan menawan
petak wajah penjual ikan
nampak berbunga dan menggoda
di gerai yang petah bersuara

Cawan wajah penjual minuman
nampak berkilat dan berkilau
dulang wajah penjual kuih
di gerai yang bersih dan ceria

Bakul wajah penjual ikan
nampak segar dan berkhasiat
raga wajah penjual jamu
nampak sihat dan kuat
di gerai yang sentiasa segar

Wajah-wajah di Pasar Minggu
adalah wajah-wajah kerajinan
kegigihan dan ketekunan
yang memenuhi gerai kehidupan
dengan kemesraan dan kesibukan.