Jikalau tuan malas ke kebun
bagaimana tanaman akan merimbun
ke sungai ke laut tuan tak mahu
mustahil ikan melompat ke perahu
hendak ke sawah kepala pening
takkan padi tumbuh menguning
jikalau pohonnya segan nak toreh
susu getah tak akan meleleh
kebun kelapa semak terabai
habis buahnya kering dan kotai
di dusun menjalar rumput dan semak
di situ ular beranakpinak
berhari-hari tak jengok bendang
bagaimana isteri tak naik radang
tanah yang ada malas dikerjakan
sampai bila-bila susah cari makan
bercucuk tanam wajah tak ceria
berangan nak jadi usahawan segera
orang galak berkebun sayur
awak terlalak menjaja liur
di belakang rumah kolam terbentang
eloklah ternak ikan dan udang
melangut di warung tanggungjawab dialpa
perut berkeroncong nak suap apa
leka bersembang mengukit sentiasa
masa terbuang tercalit dosa
jikalau melebihkan suka dan tidur
orang ke hadapan kita mundur
negara hebat buminya subur
paculah kudrat pasti makmur
Mohd Kasim Mahmud
PPJ Kota Tinggi.
No comments:
Post a Comment