BIMBINGAN BERKARYA - PUISI MODEN
Definisi Puisi Moden
Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan
berangkap sebagai,”khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan
bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran
yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang
mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah
karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara
sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya,
serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.
Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba
di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti
kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat
konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap,
kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan
rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan
kesannya kepada pembaca.
Definisi puisi yang dikemukakan oleh
Za’ba lebih merupakan definisi dari
sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang
penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi
ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair
dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca
akan menjadikan kita lebih bijaksana.
Daripada penyair Inggeris di Barat pula,
Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah
yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara
spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga
seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam
susunan yang terbaik.
Masih banyak lagi definisi puisi yang
dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil
definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu
tinggi.
Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara
Ringkas
Penulis Melayu yang pertama menulis puisi
Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk “Angan-angan dengan
Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi
bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional –
pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan
rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya,
mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan
ekonomi dan politik.
Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan
pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan
dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan
menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”,
karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6,
Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus
dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu
ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan
hati”, dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima
buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu
tradisional yang ketat.
Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk
menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat
sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang
bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan
ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan
manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah
pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.
Persediaan Menulis Puisi
Seseorang yang hendak menulis puisi
haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya
banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia
juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluas
kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering
menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam
penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia
untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan
sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.
Panduan Penulisan Puisi
Puisi yang bermutu ialah puisi yang
mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya.
Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada
sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah
mengambil kira aspek keseimbangan ini.
Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina
sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan
kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan
tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada
tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak
disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam
puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan
politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam
puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati,
sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair
penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek,
menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang
mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema
yang diungkapkan.
No comments:
Post a Comment